Keputusan Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Nastasha lwn. Kerajaan Kelantan

Pada 9 Februari 2024, keputusan akhir dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, dan ia memihak kepada Nik Elin dengan persetujuan hampir menyeluruh (lapan menyokong, satu mementang). Satu-satunya hakim yang menentang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membantah dengan hujah bahawa kes yang dibawa tidak memberi makna kepada pempetisyen kerana tidak memiliki locus standi, yakni mereka sendiri tidak terkesan dengan undang-undang yang dicabar.[9] Kesudahannya, 16 daripada 18 peruntukan dianggap terbatal kerana bercanggah dengan perundangan Persekutuan.[6]

Reaksi

Nik Elin menyebut keputusan dibuat sebagai langkah untuk "mempertahankan kedaulatan negara", dan menyifatkannya sebagai panggilan terhadap badan perundangan negeri agar lebih berhati-hati dalam menggubal akta, tetapi tidak berhasrat untuk melakukan pencabaran serupa di negeri-negeri lain.[10] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata bahawa pihaknya akan melaksanakan perbincangan dan penyesuaian yang perlu untuk memperkasakan sistem kehakiman syariah.[11]

Sementara itu, pihak berhaluan kanan menyifatkan keputusan ini sebagai keburukan buat perundangan syariah serta orang Islam di Malaysia secara am atas potensi pencabaran lanjutan terhadap undang-undang syariah lain di Malaysia, dan digelar oleh mereka sebagai "Jumaat Hitam" kepada orang Islam di Malaysia.[12][13] Dewan Ulamak PAS meluahkan kebimbangan terhadap pencabaran lanjutan oleh mereka yang tidak senang dengan undang-undang syariah.[14] Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menyifatkan keputusan kes ini "memperlihatkan adanya kelompongan serius" dalam sistem undang-undang, dan berhasrat untuk menghadap pihak diraja untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dan mengemukakan langkah pemerkasaan yang perlu.[15]

Di Kelantan, pihak kerajaan meluahkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut, dan berhasrat untuk menyelesaikan masalah terbabit seperti menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti kes terbabit, dan berunding dengan pihak kerajaan bagi tindakan lanjut.[16]

Rujukan

WikiPedia: Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Nastasha lwn. Kerajaan Kelantan https://www.sinardaily.my/article/205210/islamic/n... https://www.sinarharian.com.my/article/272413/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635357/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635535/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635686/beri... https://www.sinarharian.com.my/article/635433/beri... https://www.researchgate.net/profile/Izmi-Che-Jama... https://supreme.justia.com/cases/federal/us/402/62... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03... https://www.sinarharian.com.my/article/648869/beri...